Bagaimana Empayar Turki Uthmaniyah Dirobek oleh Penjajah?

Lagi 7 tahun (2024), maka genaplah satu abad umat Islam hidup tanpa naungan khalifah. Keadaan ini berpunca daripada peristiwa yang berlaku 100 tahun yang lalu: peristiwa Al-Thawra Al-Arabiyya Al-Kubra atau dalam Bahasa Inggeris “The Great Arab Revolt”.

Sekitar Oktober 1916, Kapten T. E. Lawrence atau “Lawrence of Arabia” tiba di Madinah dan bertemu dengan Amir Faisal, putera sulung kepada Sharif Hussein, pemerintah Haramain (“Penjaga Dua Kota Suci” lantikan Khalifah) yang berketurunan Banu Hashim. Misi Lawrence sebagai wakil Empayar Britain adalah untuk merancang strategi bersama keluarga Sharif untuk menyerang kubu Madinah yang dipertahankan oleh Fakhri Pasha, seorang jeneral Khilafah Turki Uthmaniyyah (“Ottoman”) yang handal. Kehadiran Lawrence menyusuli persetujuan Sharif Hussein dan Henry McMahon, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Mesir, untuk bersama-sama menentang Khilafah Uthmaniyyah.

Ketika itu Perang Dunia Pertama (WW1) telah berlangsung dua tahun lebih di antara Pakatan Britain-Perancis-Russia dan Pakatan Jerman-Austria. Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah yang ketika itu dikuasai oleh “Tiga Pasha” (Talaat Pasha, Enver Pasha, Djemal Pasha) telah menyertai pakatan Jerman, walaupun tidak dipersetujui oleh Khalifah Mahmud V (Mehmed V). Keluarga Sharif yang telah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Turki, membuat keputusan untuk berpakat dengan Britain demi membebaskan bangsa Arab daripada pemerintahan Turki (sebenarnya, tak ramai pun Arab yang sokong keluarga Sharif).

Britain telah memberi janji yang lumayan bahawa Britain akan menyokong Sharif untuk menjadi khalifah kepada dunia Arab.
Namun, apa yang tidak diketahui oleh Sharif ialah perjanjian rahsia di antara Britain dan Perancis yang bernama Perjanjian Sykes-Picot. Al-maklum lah waktu itu tiada WikiLeaks. Menurut perjanjian tersebut, wilayah Uthmaniyah selepas perang akan dibahagikan di antara Britain dan Perancis. Setahun kemudian (1917), Britain juga mengadakan Perjanjian Balfour dengan keluarga Rothschild, penaja gerakan Zionisme bahawa Britain akan mewujudkan sebuah negara Yahudi (“Jewish national home”) di Palestin.
Selepas tamatnya WW1, wilayah Turki Uthmaniyyah dibelah bahagi menurut Perjanjian Sykes-Picot.

Perancis mendapat Syria dan Lebanon; Britain mendapat Palestin, Jordan dan Iraq. Britain tidak mengotakan janji McMahon terhadap Sharif. Malah, Britain memberi bantuan senjata kepada musuh Banu Hashim iaitu Bani As-Saud untuk memerangi Sharif. Belum sempat lagi Sharif menubuhkan khilafah, keluarga As-Saud telah pun menawan Makkah dan Madinah pada tahun 1924 dan keluarga Sharif terpaksa meninggalkan Haramain. Keluarga As-Saud menubuhkan kerajaan yang bernama Arab Saudi.

Manakala di Turki, para pemenang WW1 (Britain, Itali, Greece) cuba menguasai Turki. Mustafa Kemal telah bangkit menentang penceroboh-penceroboh asing. Mustafa Kemal menubuhkan Republik Turki dan dihormati sebagai Ataturk (“Bapa Bangsa Turki”). Pada 3 Mac 1924, Khilafah dimansuhkan. Khalifah ke-101, Sultan Abdul Majid II (Abdulmecid II) dibuang negeri. Apa yang berlaku di Turki selepas itu, semua dah sedia maklum.

Tentu ada pengajaran (ibrah) di sebalik sejarah.

Kedua-dua Turki Uthmaniyyah dan keluarga Sharif, dan umat Islam secara keseluruhan ialah “mangsa geopolitik” yang kena “game” dengan percaturan kuasa-kuasa besar dunia. Britain sebenarnya hanya menganggap keluarga Sharif sebagai satu anak catur untuk menjatuhkan Uthmaniyyah dan membolehkan Britain menguasai Mashriq (kawasan di antara Laut Mediterranean dan Sungai Euphrates) yang strategik.

Begitu juga dengan Jerman. Bukannya Jerman nak buat pakatan dengan Turki sebab pro-Islam. Sebab-sebabnya hanya: kerana ada musuh yang sama dengan Turki iaitu Russia; dan kerana nak cari titik “pivot” di Teluk Parsi untuk melancarkan kuasa (“projecting power”) ke Lautan Hindi yang dikuasai Britain. Begitu juga dengan Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Bukannya Hitler anti Yahudi sebab dia sokong perjuangan Palestin, tapi Hitler hanya menggunakan anti-Semitisme untuk mencari sokongan di kalangan negara-negara Arab.

Sudahkah kita mengambil pengajaran?

Dalam gambar: Amir Faisal ibn Hussein menghadiri Persidangan Keamanan Paris (Paris Peace Conference) dimana pemenang-pemenang WW1 mengadakan rundingan. Lelaki ke-3 dari kanan (sebelah bahu kiri Faisal) ialah T. E. Lawrence. Lawrence agak bersimpati dengan keluarga Sharif dan telah mendapatkan hak memerintah Jordan dan Iraq untuk keluarga Sharif. Pemerintahan keluarga Faisal di Iraq digulingkan dalam kudeta berdarah pada tahun 1958, manakala keturunan Amir Abdullah, putera kedua Sharif masih memerintah Jordan sehingga pada hari ini.

Sumber:

Firas Alkhateeb (2014), Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past

Eugene Rogan (2015), The Fall of the Ottomans: the Great War in the Middle East, 1914-1920

Ian Rutledge (2015), Enemy on the Euphrates: the British Occupation of Iraq and the Great Arab Revolt, 1914-1921

Ayman Rashdan Wong

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s